2018 kian melabuhkan tirai, tapi masih belum terlambat untuk anda mencapai resolusi tahun baru anda. Apatah lagi bagi anda yang berazam untuk mengurangkan berat badan dan kelihatan kurus, masih ada masa untuk anda. Untuk mengurangkan berat badan dan kekal langsing, terdapat banyak cara yang boleh anda lakukan seperti bersenam dan mengamalkan menu diet. Selain bersenam, anda boleh juga mencuba menu diet yang sedap dan sihat. Menu diet ini merupakan cara untuk eat clean, dan mengawal pengambilan karbohidrat dan lemak supaya tidak berlebihan. Menurut pakar, diet bukan bermakna menahan lapar tetapi fokus pada pemakanan yang lebih sihat dan seimbang. Menu diet merujuk pada makanan yang mengandungi whole food, bukan processed food. Sebagai contoh, makan ikan bukan bebola ikan. Menu diet juga mengawal pengambilan minyak, gula, sos dan serbuk perasa serta mengambil kira kumpulan makanan yang terdapat dalam piramid makanan. Di sini akan dikongsikan 5 menu diet yang mudah, sedap dan berkhasiat sebagai rujukan anda. Selamat mencuba!

 

Salmon Grill

Ikan salmon sangat sesuai dijadikan menu diet kerana rasanya yang sedap serta kaya dengan minyak ikan. Resepi ini boleh dimakan bersama segenggam nasi (ingat, segenggam saja ya!) dan sayur pilihan. Untuk kelainan, boleh juga diambil bersama pasta.

Bahan-bahan

Ikan salmon, serbuk cili, lada sulah, serbuk lada hitam, sedikit garam, bawang putih ketuk dan cincang halus, minyak zaitun, sedikit perahan lemon

Cara-cara

Campurkan bahan-bahan kering serta bawang putih dan minyak zaitun. Sapukan pada ikan salmon dan perap selama 30 minit. Grill atas pemanggang. Perah sedikit lemon sebelum makan.

 

Ayam Grill

ayam panggang

Kebiasaannya, ayam sentiasa menjadi lauk pilihan. Bagi mengurangkan lemak, pilih bahagian dada. Menu diet ini sesuai dimakan bersama segenggam nasi dan sayur pilihan. Elakkan sayur masak lemak ya!

Bahan-bahan

Dada ayam, sedikit garam, serbuk cili, lada sulah, minyak zaitun

Cara-cara

Gaul semua bahan pada ayam dan perap selama 30 minit. Grill atas pemanggang.

 

Kerabu Ayam Tomato

kerabu ayam tomato

Kerabu yang sangat mudah dan sedap ini sangat sesuai dijadikan sebagai menu diet. Ia boleh dimakan bersama nasi atau begitu sahaja. Boleh juga dijadikan sebagai salad atau snack ketika lapar. Anda boleh tambah lagi sayuran pilihan anda ke dalam resepi ini.

Bahan-bahan

Isi ayam yang telah direbus dan diracik halus, bawang besar dihiris nipis, tomato dihiris nipis, cili padi, air asam jawa, sedikit garam dan gula, air perahan limau kasturi

Cara-cara

Gaul kesemua bahan, perah limau kasturi, masukkan sedikit garam dan gula secukup rasa.

 

Kubis Bunga Mashed / Mashed Cauliflower

mashed cauliflower

Resepi ini menjanjikan kelainan bagi anda. Selain menggunakan kentang atau mashed potato, anda boleh gantikan dengan kubis bunga sebagai menu diet. Lebih sihat serta enak. Sesuai dijadikan snack dan dimakan begitu sahaja.

Bahan-bahan

Kubis bunga yang telah di stim, bawang putih ketuk, sedikit cream cheese, lada sulah, minyak zaitun, sedikit garam

Cara-cara

Masak sebentar bawang putih bersama minyak zaitun, dan tutup api. Campur semua bahan ke dalam pengisar dan kisar sehingga mesra.

 

Popia Vietnamese

popia vietnam

Resepi ini berbeza sedikit dengan popia Malaysia. Selain dari tidak digoreng, ia juga mengandungi udang dan su’un yang memberikan karbohidrat. Menu diet ini sangat mudah dan sesuai untuk dijadikan snack atau minum petang ketika masa santai.

Bahan-bahan

Pembalut popia, udang yang telah dimasak, su’un, lobak merah, timun, sengkuang, sedikit kacang tanah

Cara-cara

Rebus su’un dan toskan. Atas pembalut popia, susun sayuran dan udang yang telah dipotong dua. Tabur sedikit kacang tanah dan balut dengan rapi. Boleh dimakan dengan sos pilihan anda.